2023/10/08

Cover Image That Contains Title Of This Blog Post

Ada banyak cara untuk tambah pendapatan selain dari kerja tetap. Yang penting, kita perlu bijak merancang kewangan dan berani mencuba perkara baru. Siapa tahu, mungkin salah satu jenis pendapatan ni boleh jadi sumber rezeki utama anda.

JENIS-JENIS PENDAPATAN

Saya nak kongsikan tentang tujuh jenis pendapatan yang kita semua boleh cuba untuk tambah pendapatan.

Pendapatan gaji ni adalah pendapatan yang paling biasa kita dapat melalui pekerjaan tetap. Anda mungkin seorang guru, jurutera, atau doktor yang mendapat gaji setiap bulan. Tapi, jangan lupa untuk simpan sedikit sebagai tabungan atau untuk pelaburan masa depan.

Kalau anda minat berniaga, pendapatan keuntungan adalah dari hasil jualan produk atau perkhidmatan yang anda tawarkan. Contohnya, anda menjual produk digital secara online atau menawarkan perkhidmatan rekaan grafik. Keuntungan ini boleh jadi sumber pendapatan yang lumayan kalau diurus dengan baik.

Pendapatan faedah datang daripada pelaburan yang memberikan faedah seperti akaun simpanan tetap atau dari memberi pinjaman kepada orang lain dengan kadar faedah tertentu. Contohnya, anda ada simpanan dalam ASB yang beri dividen setiap tahun. Ini adalah cara pasif untuk duit anda beranak.

Dividen adalah pendapatan yang anda dapat apabila anda melabur dalam saham syarikat. Bila syarikat itu untung, mereka akan agihkan sebahagian keuntungan kepada pemegang saham. Contoh, anda beli saham syarikat telekomunikasi dan setiap tahun anda dapat dividen dari pelaburan itu.

Keuntungan modal ni adalah pendapatan yang anda dapat apabila menjual aset seperti hartanah atau saham yang meningkat nilainya. Contohnya, anda beli rumah pada harga rendah dan jual semula pada harga yang lebih tinggi. Untung dari jualan ini adalah pendapatan anda.

Kalau anda berbakat dalam menghasilkan karya seperti menulis buku atau menggubah lagu, anda boleh dapat pendapatan royalti. Contohnya, penulis buku yang mendapat royalti setiap kali bukunya terjual, atau pemuzik yang mendapat bayaran setiap kali lagu mereka dimainkan di radio.

Pendapatan sewa adalah dari menyewakan hartanah yang anda miliki, seperti rumah atau kedai. Kalau anda ada rumah lebih yang tak diduduki, mungkin boleh pertimbangkan untuk disewakan kepada orang lain dan anda dapat pendapatan tetap setiap bulan.

ᵕ̈೫˚ SEE THE ACTUAL POST ༉‧₊˚.

2023/09/24

Cover Image That Contains Title Of This Blog Post

Berikut merupakan salah satu contoh karangan yang boleh dijadikan sebagai rujukan dan panduan terutamanya kepada pelajar yang akan menduduki peperiksaan menengah atas. Untuk melihat lagi banyak contoh karangan, anda boleh terus scroll ke bawah untuk melihat post yang tertera atau tekan menu blog di bahagian atas.

CONTOH KARANGAN SPM 

Dunia yang begitu luas dengan pelbagai kemungkinan boleh membawa kita kepada jangkitan penyakit kronik. Semakin hari, bilangan masyarakat dunia yang menghidap penyakit kronik semakin bertambah. Ini menyebabkan masyarakat begitu bimbang dan risau akan hal ini. Pelbagai usaha seperti kempen tentang pengenalan kepada penyakit kronik telah dilakukan oleh pihak kerajaan di seluruh dunia dalam menangani penyakit kronik ini. Walau bagaimanapun, wajarkah tindakan kita sebagai masyarakat yang peduli akan kesihatan diri membiarkan penyakit kronik seperti kanser, serangan jantung, dan penyakit buah pinggang ini melanda negara dan diri kita sendiri? Oleh hal yang demikian, kita perlulah peka dengan situasi ini dan mengetahui langkah-langkah mengawal penyakit kronik.

Pengambilan vaksin dari hospital dan klinik merupakan langkah efisien yang perlu diutamakan bagi mengawal penyakit kronik. Hal ini dikatakan demikian kerana pengambilan vaksin dapat mencegah jangkitan penyakit kronik seperti demam denggi dan zika. Vaksin yang disuntik dalam badan kita akan membantu sistem imunisasi badan mengecam dan memusnah jangkitan virus sebelum bermula sesuatu jangkitan penyakit. Sebagai contohnya, di negara kita sendiri, kita diberikan suntikan vaksin percuma daripada pihak kerajaan bagi mengelakkan penyakit kronik ini daripada menjangkiti kita. Antara vaksin ini termasuklah Tetanus dan Hepatitis B Monovalen. Oleh hal yang demikian, kita patut bersyukur kerana pihak kerajaan mengambil berat akan kesihatan rakyatnya serta berfikiran rasional dengan mengambil tindakan yang sewajarnya demi masa depan negara yang cerah. Justeru, kita dapat mencegah diri daripada menghidap penyakit kronik ini kerana mencegah lebih baik daripada mengubati. Jelaslah bahawa pengambilan vaksin adalah langkah utama bagi mencegah jangkitan penyakit kronik.

Kita juga hendaklah mengamalkan gaya hidup yang sihat setiap hari. Hal ini dikatakan demikian kerana amalan pemakanan yang tidak seimbang merupakan salah satu punca masyarakat menghidap penyakit kronik. Dalam hal ini, kita perlulah makan makanan yang seimbang berpandukan piramid makanan. Selain itu juga perlu minum air secukupnya sekurang-kurangnya lapan gelas sehari serta tidur yang mencukupi antara enam hingga lapan jam sehari. Kesannya, badan kita akan menjadi sihat dan cergas di samping mengurangkan potensi yang dapat mengundang kepada penyakit kronik. Hal ini juga membolehkan kita lebih mempersiapkan diri serta tidak perlu bersusah payah berulang alik ke hospital akibat penyakit kronik yang dihidap. Bak kata pepatah, sediakan payung sebelum hujan. Tegasnya, amalan gaya hidup yang sihat dapat mengurangkan risiko penyakit kronik.

Kita perlulah melakukan pemeriksaan kesihatan secara berkala sebagai langkah yang dapat diambil untuk mengelakkan diri daripada menghidap penyakit kronik. Hal ini dikatakan demikian kerana kita dapat mengesan sebarang penyakit yang berisiko tinggi dengan lebih awal. Dalam konteks ini, kita digalakkan untuk melakukan pemeriksaan kesihatan sekurang-kurangnya tiga bulan sekali. Janganlah menunggu penyakit datang kepada kita kerana sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tidak berguna. Kita pasti akan menyesal seumur hidup sekiranya tidak mengambil sebarang tindakan dari awal. Sebagai akibat daripada pemeriksaan ini, penyakit kronik akan dapat dikesan dan rawatan lanjut boleh dilakukan sebelum penyakit kronik menjadi lebih parah kerana malang tidak berbau. Hakikatnya, pemeriksaan secara berkala akan dapat membantu kita mengesan penyakit kronik yang boleh merebak di samping mendapatkan rawatan awal sebelum terlambat.

Kita juga boleh merujuk pakar atau doktor bagi mendapatkan maklumat sahih mengenai sesuatu penyakit kronik. Hal ini dikatakan demikian kerana mereka dapat mengenal pasti simptom-simptom awal sesuatu penyakit. Kita boleh melayari Internet yang diyakini ataupun merujuk kepada orang yang pakar untuk mengetahui lebih lanjut penyakit kronik tersebut. Implikasinya, rawatan awal akan dapat dilakukan segera sekiranya tanda-tanda awal dapat diketahui. Secara umumnya, merujuk pakar atau doktor untuk tujuan mendapatkan maklumat sahih mengenai sesuatu penyakit kronik dapat mengelakkan diri kita daripada menghidap penyakit kronik.

Penjagaan kesihatan diri dan persekitaran juga merupakan kaedah yang dapat diambil bagi mengawal jangkitan penyakit kronik. Hal ini dikatakan demikian kerana kesihatan yang baik bermula daripada penjagaan diri dan persekitaran. Jika kita di lingkungan persekitaran yang kotor, hal ini jelas memberikan impak negatif kepada masyarakat termasuklah menjejaskan kesihatan. Oleh hal yang demikian, kita sebagai masyarakat hendaklah peka terhadap kebersihan persekitaran. Sebagai contohnya, masyarakat di kawasan kejiranan bekerjasama bagai aur dengan tebing untuk mengadakan aktiviti gotong-royong yang diadakan sebulan sekali bagi mengelakkan persekitaran menjadi kotor. Menjaga kebersihan persekitaran justeru menghindarkan kita daripada penyakit seperti demam denggi dan zika. Jelaslah kepada kita bahawa penjagaan diri dan persekitaran dapat mencegah daripada berlakunya jangkitan penyakit kronik.

Kesimpulannya, terdapat beberapa langkah yang dapat kita aplikasikan dalam kehidupan seharian bagi mengawal penyakit kronik. Oleh hal yang demikian, masyarakat haruslah peka dan  bersiap sedia setiap masa kerana penyakit tidak mengenal siapa dan usia kita. Sesungguhnya, mencegah penyakit lebih mudah daripada mengubati. Kita tidak mahu hal-hal yang tidak baik berlaku kepada diri kita mahupun ahli keluarga dan teman terdekat. Justeru, dengan mengamalkan langkah-langkah yang telah dibincangkan akan dapat mencegah diri kita daripada menghidap penyakit kronik.

 ᵕ̈೫˚ DOWNLOAD HERE ༉‧₊˚.

2023/09/23

Cover Image That Contains Title Of This Blog Post

Berikut merupakan salah satu contoh karangan yang boleh dijadikan sebagai rujukan dan panduan terutamanya kepada pelajar yang akan menduduki peperiksaan menengah atas. Untuk melihat lagi banyak contoh karangan, anda boleh terus scroll ke bawah untuk melihat post yang tertera atau tekan menu blog di bahagian atas.

CONTOH KARANGAN SPM

Sukan merupakan aktiviti yang amat istimewa dan mendapat tempat di hati masyarakat tanpa mengira usia. Sebagai masyarakat yang prihatin, anda diminta menjelaskan kepentingan-kepentingan sukan kepada masyarakat.

Belakangan ini, isu sukan kerap menjadi topik perbualan yang kian dibincangkan dalam kalangan pelbagai lapisan masyarakat umum kerana isu ini memberi kesan kepada semua pihak. Oleh sebab sukan memberi pelbagai kesan positif kepada masyarakat, usaha pelbagai pihak untuk melahirkan masyarakat yang aktif bersukan perlulah dilakukan dengan segera. Persoalannya, apakah kepentingan-kepentingan bersukan?

Salah satu daripada kepentingan sukan ialah dapat menyihatkan badan kita. Hal ini dikatakan demikian kerana badan yang sihat akan memudahkan kita menjalani kehidupan yang sempurna dan bahagia. Sehubungan dengan itu, kita amat digalakkan melakukan senaman ringan sekurang-kurangnya tiga kali dalam seminggu walaupun padat dengan tugasan harian masing-masing. Sebagai contohnya, kita boleh berjoging di taman berdekatan dengan tempat tinggal kita ataupun menyertai aktiviti seperti larian marathon. Secara langsung, tubuh kita akan menjadi sihat dan kuat, serta dapat menghindarkan kita daripada menghidap penyakit kronik seperti diabetes dan obesiti. Ringkasnya, sukan dapat menyihatkan badan kita.

Mengisi masa lapang juga merupakan antara kepentingan sukan. Hal ini dikatakan demikian kerana kita tidak akan membuang waktu terluang kita dengan melakukan aktiviti-aktiviti yang mendatangkan lebih banyak keburukan daripada kebaikan seperti bermain permainan video dan melepak di pusat beli-belah bersama kawan-kawan khususnya dalam kalangan remaja masa ini. Oleh hal yang demikian, amatlah wajar masyarakat seharusnya menggunakan masa yang ada sebaik-baiknya dengan mengajak rakan-rakan atau ahli keluarga beriadah bersama. Sebagai contohnya, bermain futsal bersama rakan-rakan dan bermain badminton bersama ahli keluarga pada waktu petang. Mengisi waktu luang dengan bersukan akan mengelakkan remaja daripada terlibat dengan gejala sosial seperti vandalisme serta menghilangkan tekanan. Jelaslah kepada kita bahawa sukan dapat memenuhkan masa lapang kita dengan aktiviti yang bermanfaat.

Mengeratkan hubungan silaturahim antara masyarakat juga merupakan kepentingan sukan. Hal ini dikatakan demikian kerana kita dapat mengenali sesama rakan-rakan baharu dengan lebih mesra dan rapat. Minat yang sama dalam bidang sukan juga kan menjadikan hubungan yang baharu terjalin semakin erat. Rentetan daripada hal ini, masyarakat perlulah beramah mesra dan saling mengenali antara satu sama lain semasa keberadaan kita di pusat sukan tersebut. Sebagai contohnya, kita dapat saling mengenali dan bertukar-tukar pendapat mengenai strategi dan taktik yang digunakan pihak lawan ketika bermain badminton. Hal ini secara tidak langsung mengeratkan hubungan silaturahim antara rakan sepasukan dan pihak lawan dalam pertandingan sukan. Ringkasnya, sukan juga mampu mengeratkan hubungan silaturahim antara masyarakat.

Kepentingan seterusnya termasuklah mampu mengharumkan nama sekolah, negeri, mahupun negara. Hal ini amat penting kerana kesan daripada peningkatan nama baik sekolah, negeri, dan negara ini kan menjadikan kita disegani dan disanjung tinggi pihak lawan. Rentetan daripada hal tersebut, masyarakat khususnya dalam golongan belia perlulah berusaha bersungguh-sungguh dan menanamkan semangat kesukanan yang tinggi dalam diri. Kesannya, masyarakat bukan sahaja mengharumkan nama baik sendiri, sekolah, daerah, negeri, ataupun negara, malahan melahirkan rasa bangga dan semangat yang lebih berkobar-kobar untuk melakukan yang lebih baik pada masa yang akan datang. Sebagai contohnya, atlet sekolah yang telah mengharumkan nama sekolahnya akan lebih bersemangat untuk melakukan yang lebih baik sekiranya diberi penghargaan yang wajar oleh pihak sekolah. Ringkasnya, nama baik sekolah, negeri, dan negara akan disanjung tinggi sekiranya masyarakat menyertai pertandingan sukan.

Memberikan peluang pekerjaan kepada masyarakat juga merupakan kepentingan sukan yang tidak kurang pentingnya. Hal ini dikatakan demikian kerana, banyak peluang pekerjaan yang tersedia dalam bidang ini seperti menjadi jurulatih, guru, dan atlet sukan. Oleh hal yang demikian, masyarakat perlulah peka dan tidak memandang enteng bahawa bidang sukan tidak memberikan sebarang faedah kepada kita. Buktinya, ramai atlet dan jurulatih yang telah berjaya dalam bidang pekerjaan masing-masing dan dibayar gaji yang tinggi. Sebagai contohnya, bekas pemain badminton negara Malaysia yang terkenal, Dato Lee Chong Wei yang menjadikan bidang kerjayanya sebagai atlet negara yang telah berjaya di samping mendapatkan pulangan gaji yang lumayan. Natijahnya, bidang sukan juga memberikan peluang pekerjaan kepada masyarakat.

Kesimpulannya, terdapat beberapa kepentingan sukan kepada masyarakat. Oleh hal yang demikian, semua pihak haruslah bekerjasama bagai aur dengan tebing dan bermuafakat untuk mencapai hasrat yang dicita-citakan. Sesungguhnya, usaha yang bersungguh dan berterusan umpama genggam bara api, biar sampai jadi arang akan dapat melahirkan masyarakat yang berkualiti dan negara yang mampu bersaing umpama duduk sama rendah, berdiri sama tinggi dengan negara lain.

 ᵕ̈೫˚ DOWNLOAD HERE ༉‧₊˚.

2023/09/17

Cover Image That Contains Title Of This Blog Post

Berikut merupakan salah satu contoh karangan yang boleh dijadikan sebagai rujukan dan panduan terutamanya kepada pelajar yang akan menduduki peperiksaan menengah atas. Untuk melihat lagi banyak contoh karangan, anda boleh terus scroll ke bawah untuk melihat post yang tertera atau tekan menu blog di bahagian atas.

CONTOH KARANGAN SPM

Huraikan pendapat anda tentang ciri-ciri jiran yang baik.

Jiran ialah orang yang tinggal paling hampir dengan tempat kediaman kita. Segala perkara yang berlaku pada diri kita terlebih dahulu diketahui oleh jiran. Oleh hal yang demikian, jiran merupakan orang yang paling mudah dihubungi untuk mendapatkan pertolongan pada saat kita ditimpa musibah. Pertolongan seperti inilah yang mata diperlukan pada waktu kecemasan  sementara menunggu bantuan pihak berwajib. Justeru, jiran yang sepakat dan bersatu padu mampu menjamin keselamatan setempat daripada sebarang ancaman seperti kecurian, penyalahgunaan dadah, dan budaya samseng. Persoalannya, apakah sahaja ciri-ciri jiran yang baik?

Ciri jiran yang baik ialah saling menghormati. Hal ini dikatakan demikian kerana ianya dapat mengelakkan perbalahan yang berpunca daripada perselisihan faham. Jiran yang baik akan sentiasa berinteraksi secara sopan, jujur, dan tulus kepada satu dengan yang lainnya. Sebagai contohnya, kita sebagai jiran yang lebih muda haruslah menggunakan panggilan yang sesuai dan sopan seperti panggilan kakak, pakcik, dan mak cik kepada jiran yang lebih tua untuk menunjukkan rasa hormat. Kita juga hendaklah mengucapkan terima kasih apabila menerima sesuatu daripada jiran. Budi bahasa kita juga harus dijaga kerana budi bahasa, budaya kita. Kesannya, ikatan kejiranan akan terjalin lebih utuh. Terbuktilah bahawa ciri-ciri jiran yang baik adalah hormat-menghormati.

Peka terhadap masalah yang berlaku di sekitar kawasan kejiranan dan membantu mereka yang berada dalam kesusahan juga merupakan salah satu ciri jiran yang baik. Hai ini dapat membantu meringankan beban dan masalah yang sedang dialami. Jiran yang baik akan menziarahi stau dengan yang lain apabila mendapat tahu jirannya sakit. Sebagai contohnya, kita akan membawa buah tangan sewaktu menziarahi jiran yang sedang sakit dan meluangkan masa untuk bertanyakan khabar dan bersiap sedia sekiranya jiran memerlukan pertolongan. Perbuatan ini merupakan amalan yang terpuji kerana sebagai seorang jiran, kita harus mengambil berat tentang keadaan jiran kita. Jika jiran ditimpa masalah, kita haruslah sedia membantu. Kesannya, jiran dapat merapatkan hubungan silaturahim. Sidang terang lagi bersuluh, ciri jiran yang baik adalah peka terhadap masalah yang berlaku di sekeliling mereka dan membantu jiran yang dalam kesusahan.

Jiran yang baik akan saling membantu. Sikap ini dapat meringankan beban yang dipikul oleh jiran tetangga. Sebagai contohnya, sewaktu jiran mengadakan kenduri, kita sebagai jiran yang baik harus turut serta meringan beban jiran kita dengan membantu persiapan kenduri seperti memasak, memasang khemah, dan membersihkan kawasan di mana kenduri itu akan dijalankan. Dengan ini, persiapan kenduri tersebut akan terlaksana dengan lebih pantas. Selain kenduri, jiran tetangga juga perlu mengamalkan sikap tolong-menolong ini dalam aktiviti gotong-royong. Tambahan pula, jika aktiviti tersebut melibatkan kawasan kejiranan yang memerlukan kerjasama setiap isi rumah yang tinggal di kawasan tersebut. Aktiviti ini bukan sahaja dapat memupuk sikap kerjasama seperti aur dengan tebing. Tegaslah bahawa salah satu ciri jiran yang baik adalah saling membantu.

Kunjung-mengunjungi juga merupakan salah satu ciri jiran yang baik. Amalan kunjung-mengunjungi ini membolehkan jiran mengenali kita dengan lebih, bak kata peribahasa tak kenal maka tak cinta. Hal ini dapat dilakukan dengan mengunjungi rumah jiran ketika menjelangnya hari perayaan. Sebagai contohnya, Hari Raya Aidilfitri, Tahun Baru Cina, dan Deepavali. Amalan ini bukan sahaja membolehkan jiran mengenali satu sama lain, tetapi juga mengenali budaya jiran. Individu dapat menikmati pelbagai juadah makanan kaum lain seperti rendang, ketupat, dan kuih bulan. Melakukan jiran yang suka mengunjungi jiran yang lain amat disenangi kerana tidak bersifat kera sumbang. Natijahnya, jiran-jiran dapat mengeratkan hubungan yang lebih mesra. Jelaslah bahawa kunjung-mengunjungi merupakan salah satu ciri jiran yang baik.

Ciri jiran yang baik adalah sentiasa melibatkan diri dalam aktiviti kemasyarakatan yang diadakan di kawasan kejiranan. Hal ini dapat memupuk semangat kekitaan dalam kalangan jiran tetangga, bak kata peribahasa yang berbunyi ke bukit sama didaki, ke lurah sama dituruni. Setiap kawasan kejiranan haruslah menubuhkan persatuan Tukun Tetangga. Persatuan ini mampu mewujudkan kehidupan berjiran yang lebih baik. Sehubungan dengan itu, jiran yang baik haruslah turut serta dalam aktiviti kejiranan ini. Sebagai contohnya, kita hendaklah menyumbang tenaga dengan menyertai aktiviti rondaan di kawasan kejiranan pada waktu malam. Kegiatan ini akan dapat mengelakkan berlakunya kes-kes seperti kecurian dan jenayah di kawasan kejiranan serta mewujudkan persekitaran yang selesa dan selamat untuk dihuni. Salah satu ciri jiran yang baik adalah sentiasa melibatkan diri dalam aktiviti kemasyarakatan di kawasan kejiranan.

Tuntasnya, hidup berjiran amat penting dalam kehidupan kita. Hal ini dikatakan demikian kerana hidup berjiran mendatangkan banyak manfaat dan menyatupadukan seluruh masyarakat. Jelaslah kepada kita bahawa kepentingan dan peranan jiran tetangga yang baik dalam membentuk kemakmuran dan kesejahteraan sesebuah negara amatlah penting. Oleh hal yang demikian, masyarakat haruslah berganding bahu bak kata peribahasa berat sama dipikul, ringan sama dijinjing dalam usaha menjadikan kehidupan berjiran sebahagian daripada amalan dan budaya masyarakat di Malaysia.

 ᵕ̈೫˚ DOWNLOAD HERE ༉‧₊˚.

2023/09/16

Cover Image That Contains Title Of This Blog Post

Berikut merupakan salah satu contoh karangan yang boleh dijadikan sebagai rujukan dan panduan terutamanya kepada pelajar yang akan menduduki peperiksaan menengah atas. Untuk melihat lagi banyak contoh karangan, anda boleh terus scroll ke bawah untuk melihat post yang tertera atau tekan menu blog di bahagian atas.

CONTOH KARANGAN SPM

Anda telah membaca sebuah novel yang mengandungi pelbagai teguran pengarang terhadap masyarakat. Berdasarkan karya tersebut, jelaskan teguran pengarang yang dapat dijadikan pedoman dalam kehidupan kita.

Masyarakat pada masa ini semakin kurang nilai dan akhlak dalam diri mereka. Hal ini dapat dibuktikan dengan penambahan bilangan individu yang terlibat dalam budaya yang tidak sihat seperti penyalahgunaan dadah, vandalisme, dan kegiatan judi. Oleh hal yang demikian, pelbagai cara telah dilakukan bagi meningkatkan kesedaran dalam diri masyarakat. Salah satu cara yang dapat dilakukan adalah melalui penerbitan novel-novel yang mengandungi teguran positif daripada pengarang terhadap masyarakat seperti Silir Daksina karya Nizar Parman. Persoalannya, apakah teguran pengarang yang dapat dijadikan pedoman dalam kehidupan kita melalui novel Silir Daksina ini?

Teguran pengarang yang dapat dijadikan pedoman dalam kehidupan kita ialah rajin berusaha mencapai matlamat yang diinginkan. Hal ini dikatakan demikian kerana kita hanya akan memperoleh kejayaan jika kita rajin berusaha. Hasil tidak akan lari daripada usaha yang kita telah lakukan. Sehubungan dengan itu, kita seharusnya pantang menyerah sebelum menuai hasilnya. Sebagai contohnya, watak yang diperlihatkan dalam novel Silir Daksina menerusi watak Tauke Lim yang rajin bekerja di tanah Cikgu Nizam dan membeli hasil pertanian orang kampung sehingga mampu membeli sebidang tanah untuk tapak rumahnya. Kesan daripadanya, kita akan lebih berdisiplin dalam melaksanakan sesuatu tugas. Justeru, teguran pengarang telah menyedarkan kita agar sentiasa berusaha bersungguh-sungguh untuk memperoleh kejayaan.

Mencintai warisan budaya juga merupakan antara teguran pengarang yang dapat dijadikan pedoman dalam kehidupan kita. Melalui isi yang diperlihatkan ini, mengajar kita untuk mempelajari dan mewarisi seni budaya. Dalam hal ini, kita haruslah sentiasa menghidupkan seni budaya seperti watak Abdullah bin Kayan yang diperlihatkan dalam novel Silir Daksina yang berusaha menghidupkan budaya di Kampung Purnama sehinggakan sanggup mengorbankan kebahagiaannya sendiri. Jika kita mencintai warisan budaya, kita tidak akan melupakan warisan tersebut. Kesannya, generasi yang lahir seterusnya akan dapat meneruskan dan menghayati warisan. Jelaslah kepada kita bahawa teguran pengarang mengajar kita untuk mengenali dan mencintai secara lebih mendalam tentang budaya warisan kerana tak kenal maka tak cinta.

Selain itu, pengarang juga menegur kita agar menyayangi ahli keluarga. Hal ini dikatakan demikian kerana kita akan dapat mewujudkan suasana keluarga yang lebih harmoni. Rentetan daripada hal tersebut, watak dalam novel Silir Daksina iaitu Haiqal menjadi teladan kepada kita agar sentiasa menyayangi dan menghormati ahli keluarga. Sebagai contohnya, Haiqal yang menyayangi ibu, ayah tiri, ayah kandung, dan adik tirinya. Impaknya, hubungan kekeluargaan mereka sentiasa dalam keadaan baik dan harmoni. Oleh hal yang demikian, teguran pengarang dalam novel Silir Daksina mengajar kita untuk berbaik-baik sesama anggota keluarga kerana air dicincang tidak akan putus.

Seterusnya, bertanggungjawab dan amanah dalam melaksanakan tugas yang diberikan merupakan teguran pengarang yang dapat dijadikan pedoman dalam kehidupan kita. Hal ini dikatakan demikian kerana kita akan mendapat kepercayaan daripada orang lain. Oleh hal yang demikian, kita hendaklah melaksanakan tugas yang diberikan dengan sempurna. Contoh yang dapat diambil daripada novel Silir Daksina ialah menerusi watak See Hwa yang menyerahkan manuskrip seperti yang diamanahkan kepada Haiqal. Natijahnya, kita akan dihormati oleh masyarakat di sekeliling kita. Oleh hal yang demikian, situasi ini mengajar kita agar lebih bertanggungjawab atas tugas yang diamanahkan kepada kita sebaik-baiknya.

Teguran yang terakhir yang dapat menjadi pedoman dalam kehidupan kita ialah taat kepada perintah agama masing-masing. Hal ini akan memicu kepada hidup sesuai di hadapan Tuhan. Dengan ini, kita hendaklah melaksanakan kewajipan agama dengan sempurna. Misalnya, watak Haiqal dalam novel Silir Daksina yang tidak pernah lupa akan tanggungjawabnya sebagai umat Islam dalam menunaikan solat lima waktu setiap hari. Akibat daripada perbuatan ini, kita akan lebih berakhlak mulia dan mempunyai jati diri yang kuat. Tegasnya, teguran pengarang ini mengajar kita agar sentiasa taat pada perintah agama dalam kehidupan kita sehari-hari.

Kesimpulannya, teguran-teguran yang dikemukakan dalam novel Silir Daksina ini dapat dijadikan pedoman yang baik kepada masyarakat umumnya. Masyarakat perlulah rajin membaca dan bijak dalam mengenal pasti teguran yang ingin disampaikan oleh pengarang. Melalui cara ini, masyarakat bukan sahaja mampu memperbaiki diri dari masa ke semasa, malahan dapat mempelajari sesuatu daripadanya. Oleh hal yang demikian, masyarakat mestilah menghayati karya-karya yang ditulis oleh pengarang kerana banyak teladan yang dapat diperoleh melalui pembacaan novel tersebut. Ini secara tidak langsung juga akan mendatangkan ilmu baharu kepada kita seperti peribahasa yang mengatakan membaca merupakan jambatan ilmu.

 ᵕ̈೫˚ DOWNLOAD HERE ༉‧₊˚.

2023/09/10

Cover Image That Contains Title Of This Blog Post

Berikut merupakan salah satu contoh karangan yang boleh dijadikan sebagai rujukan dan panduan terutamanya kepada pelajar yang akan menduduki peperiksaan menengah atas. Untuk melihat lagi banyak contoh karangan, anda boleh terus scroll ke bawah untuk melihat post yang tertera atau tekan menu blog di bahagian atas.

CONTOH KARANGAN SPM

Apakah kepentingan yang diperoleh hasil daripada melestarikan warisan budaya negara?

Negara kita Malaysia cukup terkenal oleh rakyatnya yang berbilang kaum seperti kaum Melayu, Cina, India, Kadazan dan Iban. Setiap kaum ini masih mengamalkan warisan yang diturunkan oleh nenek moyang dan disesuaikan dengan cara hidup dan agama generasi masa ini. Oleh hal yang demikian, kita sebagai generasi yang menerima warisan ini haruslah bersyukur dan bertuah dengan keistimewaan yang terdapat dalam semua kaum di Malaysia. Namun, tidak ramai daripada kita yang mengambil peduli tentang warisan budaya negara sendiri. Persoalannya, apakah kepentingan yang diperoleh jika kita melestarikan warisan budaya negara sendiri?

Salah satu kepentingan yang dapat dimanfaatkan hasil daripada melestarikan warisan budaya termasuklah kita dapat menonjolkan unsur kebudayaan pelbagai kaum di Malaysia. Budaya setiap kaum yang berbeza dengan keunikannya yang tersendiri justeru menjadikan negara kita salah satu tumpuan utama para pengunjung dari negara luar datang ke Malaysia. Acara tahunan yang diadakan seperti Festival Kuala Lumpur bukan sahaja dihadiri oleh penduduk tempatan negara kita, malahan dihadiri oleh ramai pelancong dari negara luar yang turut ingin menyaksikan festival tersebut. Dengan ini, jelaslah bahawa penganjuran festival yang bertujuan untuk melestarikan warisan budaya negara amat penting dalam menjadi landasan utama menonjolkan unsur kebudayaan pelbagai kaum di negara kita kepada orang luar.

Selain itu, membentuk masyarakat berbudaya juga merupakan salah satu kepentingan melestarikan warisan budaya terutamanya dalam kalangan generasi muda. Dengan pengetahuan yang luas mengenai warisan budaya negara, generasi muda akan lebih terdedah dengan keunikan dan kekayaan nilai yang ada. Hal ini dikatakan demikian kerana, warisan budaya ini merupakan tunjang tamadun. Pengetahuan mengenai warisan budaya justeru dapat memelihara tamadun. Kita tidak mahu tamadun yang sudah ada sejak zaman nenek moyang kita hilang ditelan arus kemodenan akibat ketidakpedulian kita terhadap warisan budaya negara. Sudah terang lagi bersuluh bahawa kepentingan melestarikan warisan budaya termasuklah dapat membentuk masyarakat berbudaya dan cinta akan warisan negara. Dengan ini, terbentuklah masyarakat yang menghargai warisan dan menjadikan warisan sebagai ikon dalam diri mereka.

Seterusnya, dengan melestarikan warisan budaya juga akan dapat menarik lebih ramai pelancong tempatan mahupun luar negara untuk berkunjung ke tempat-tempat menarik yang kaya dengan kebudayaan dan kesenian negara. Sebagai contohnya, demonstrasi dan pameran gasing uri yang dianjurkan pada 18 dan 19 Jun 2011 di Pasar Seni, Kuala Lumpur yang lalu. Anjuran ini mendapat sambutan yang memberangsangkan dalam kalangan pengunjung. Selain dapat memartabatkan permainan tradisional itu sendiri, anjuran ini juga secara tidak langsung telah mempromosikan Pasar Seni tersebut kepada umum sebagai sebuah tempat pelancongan yang tersohor dengan kebudayaan dan kesenian negara. Secara jelasnya, penganjuran demonstrasi dan pameran sebagai salah satu langkah melestarikan warisan budaya telah menarik ramai pengunjung untuk melawat tempat-tempat menarik yang kaya dengan kebudayaan dan kesenian di negara kita.

Kepentingan yang tidak dapat lari daripada melestarikan warisan budaya negara termasuklah meningkatkan minat masyarakat terhadap aktiviti seni. Dengan penganjuran yang lebih kerap, akan lebih ramai masyarakat negara kita ingin turut serta dalam menjayakan program dan anjuran tersebut. Hal ini seterusnya akan dapat menarik minat mereka dalam aktiviti kebudayaan dan kesenian negara. Lebih ramai masyarakat yang akan menceburi bidang seni. Hal ini dikatakan demikian kerana, pembangunan seni dan budaya merupakan aspek yang tidak kurang pentingnya dalam memperkasakan ekonomi negara. Tambahan pula, aspek seni dan budaya ini memainkan peranan yang amat penting dari sudut pelancongan negara. Tuntasnya, meningkatkan minat masyarakat terhadap aktiviti seni juga merupakan kepentingan hasil daripada melestarikan warisan budaya negara.

Akhir sekali, sebagai rakyat Malaysia yang terdiri daripada pelbagai kaum dan agama, kita haruslah melestarikan warisan budaya yang terdapat di negara kita. Hal ini justeru akan mendatangkan kebaikan dan kepentingan kepada bangsa dan negara. Antara kepentingan yang kita peroleh hasil daripada melestarikan warisan budaya negara termasuklah dapat menonjolkan unsur kebudayaan pelbagai kaum, membentuk masyarakat berbudaya, menarik lebih ramai pengunjung, serta meningkatkan minat masyarakat terhadap aktiviti seni. Wajarlah setiap pihak berganding bahu dalam melestarikan warisan budaya agar tidak pupus ditelan zaman.

 ᵕ̈೫˚ DOWNLOAD HERE ༉‧₊˚.

2023/09/09

Cover Image That Contains Title Of This Blog Post

Berikut merupakan salah satu contoh karangan yang boleh dijadikan sebagai rujukan dan panduan terutamanya kepada pelajar yang akan menduduki peperiksaan menengah atas. Untuk melihat lagi banyak contoh karangan, anda boleh terus scroll ke bawah untuk melihat post yang tertera atau tekan menu blog di bahagian atas.

CONTOH KARANGAN SPM

Huraikan manfaat menuntut ilmu kepada murid.

Dalam era globalisasi ini, penguasaan ilmu dalam pelbagai bidang sememangnya penting dan perlu diberikan perhatian utama. Ilmu merupakan jambatan kehidupan mencorakkan kehidupan ke arah yang lebih cerah agar individu mempunyai masa hadapan yang cemerlang, gemilang, dan terbilang. Tuntutan zaman telah membuktikan ilmu pengetahuan dapat menjamin kejayaan seseorang jika digunakan dengan sebaik mungkin. Oleh hal yang demikian, ilmu pengetahuan akan melahirkan rakyat yang berintelektual serta berdaya saing dalam pelbagai aspek. Persoalannya, apakah manfaat menuntut ilmu kepada seseorang individu yang bergelar pelajar?

Salah satu manfaat ilmu kepada pelajar ialah tidak mudah ditipu atau diperdaya oleh individu yang tidak bertanggungjawab. Hal ini dikatakan demikian kerana, pada era intelektual ini, ramai orang yang mengalami kerugian akibat daripada tipu muslihat penipu siber. Penipu siber yang tidak bertanggungjawab ini menggunakan cara yang menarik dalam mengambil perhatian masyarakat. Antara cara yang dimaksudkan termasuklah melalui peraduan gores dan menang. Oleh hal yang demikian, dengan adanya ilmu pengetahuan dan kepekaan dalam diri pelajar, mereka dapat mengelakkan diri daripada mengalami sebarang kerugian dan tidak akan menjadi mangsa penipuan. Ilmu pengetahuan adalah teras kepada kemajuan rakyat. Ilmu itu pedoman hati, jika tidak dituntut nescaya menjadi rugi. Penyesalan akan datang silih berganti jika tidak menuntut ilmu kerana lalai sesaat adakalanya mencurahkan air mata. Jelaslah bahawa ilmu pengetahuan dapat menjadikan seseorang lebih berwaspada daripada muslihat-muslihat orang zalim yang gemar berdusta.

Selain itu, pelajar juga akan mempelajari ilmu baharu. Hal ini dikatakan demikian kerana, pada waktu pembelajaran, mereka memperoleh ilmu pengetahuan yang lebih meluas daripada subjek-subjek yang dipelajari di sekolah. Ilmu ini boleh diperolehi apabila pelajar melibatkan diri sama ada dalam pendidikan secara formal atau tidak formal. Sebagai kesannya, pelajar dapat menambah dan mengembangkan ilmu pengetahuan sekaligus meningkatkan kemahiran dalam pelbagai aspek kehidupan. Dengan adanya ilmu pengetahuan dalam diri pelajar, mereka dapat mengetahui segala perkara yang perlu untuk diketahui dan mengelakkan diri daripada menjadi katak di bawah tempurung. Izharnya, mempelajari ilmu baharu merupakan salah satu manfaat menuntut ilmu kepada pelajar.

Seterusnya, dengan adanya ilmu pengetahuan yang diturunkan kepada pelajar, sekolah dapat melahirkan pelajar yang bermoral. Ilmu pengetahuan menjadi penyuluh jalan bahkan sehingga tubuh dipisahkan daripada roh. Hal ini dikatakan demikian kerana, pelajar akan menjadi insan yang memiliki sahsiah dan akhlak yang terpuji hasil daripada panduan yang baik melalui ilmu pengetahuan yang dimiliki. Pelajar yang berilmu akan dapat memanfaatkan nilai-nilai murni yang dipelajari dalam kehidupan seharian seperti nilai bertanggungjawab, bertimbang rasa, dan saling menghormati. Di sekolah, dengan adanya subjek seperti Pendidikan Islam, Moral, dan Sivik akan dapat memupuk nilai-nilai murni yang baik dalam diri pelajar tersebut di samping meningkatkan ilmu pengetahuan. Kesannya, pelajar akan lebih disenangi dan disukai oleh orang-orang di sekelilingnya kerana tingkah lakunya yang tertib. Pelajar dapat menimba ilmu pengetahuan di samping mengaplikasikan nilai yang dipelajari dalam kehidupan. Bak kata pepatah, sambil menyelam minum air. Jelaslah bahawa ilmu pengetahuan akan dapat melahirkan pelajar yang bermoral dan berakhlak mulia. Justeru, ilmu yang dicedok nescaya mendatangkan manfaat kepada pelajar dari sudut sahsiah diri jika diamalkan dalam kehidupan.

Di samping itu, ilmu pengetahuan juga dapat menjamin masa hadapan seseorang pelajar. Hal ini dikatakan demikian kerana, jika pelajar berusaha bersungguh-sungguh ketika menuntut ilmu, mereka akan memperoleh dan mempelajari pelbagai ilmu bermanfaat. Bagi meningkatkan ilmu dalam diri, para pelajar seharusnya menimba ilmu pengetahuan daripada guru di sekolah. Pelajar juga digalakkan untuk mengetahui sejarah. Nescaya, dengan pengetahuan sejarah yang ada akan mengajar pelajar untuk tidak mengulangi kesilapan yang sama dan mengubah sejarah ke arah masa hadapan yang lebih cerah. Bahkan gelapnya masa lalu dapat diubah menjadi terang dengan sinar ilmu yang diperoleh. Ringkasnya, masa hadapan yang cerah dan gemilang dapat dicapai oleh pelajar dengan menuntut ilmu.

Akhir sekali, pelajar mampu menyelesaikan pelbagai jenis masalah melalui ilmu yang dituntut. Hal ini dikatakan demikian kerana, ilmu yang dituntut dapat membantu diri pelajar untuk mengetahui tindakan wajar yang perlu dilakukan dalam menyelesaikan sesuatu masalah. Hal ini dapat dilakukan dengan menuntut ilmu yang mampu membantu diri pada masa mendatang. Kesannya, setiap pelajar dapat membebaskan diri daripada belenggu permasalahan yang dihadapi. Ilmu amatlah penting, sinarnya terang cahaya sejati. Oleh hal yang demikian, tuntutlah ilmu sebagai persediaan mengharungi ketidakpastian yang menunggu di masa hadapan. Bak kata pepatah, sediakan payung sebelum hujan.

Izharnya, ilmu pemacu kejayaan hidup setiap individu yang bergelar pelajar. Individu yang berjaya adalah individu yang memandang tinggi ilmu pengetahuan. Bagi mencapai status negara maju, masyarakat yang berintelektual tinggi merupakan pemacu ke arah kemajuan negara. Oleh hal yang demikian, ilmu pengetahuan amatlah penting dan perlu dititikberatkan oleh setiap pelajar untuk meningkatkan taraf hidup serta menempuhi rintangan dalam kehidupan yang penuh dengan saingan dan onak duri pada masa ini.

 ᵕ̈೫˚ DOWNLOAD HERE ༉‧₊˚.

2023/09/03

Cover Image That Contains Title Of This Blog Post

Berikut merupakan salah satu contoh karangan yang boleh dijadikan sebagai rujukan dan panduan terutamanya kepada pelajar yang akan menduduki peperiksaan menengah atas. Untuk melihat lagi banyak contoh karangan, anda boleh terus scroll ke bawah untuk melihat post yang tertera atau tekan menu blog di bahagian atas.

CONTOH KARANGAN SPM

Malaysia merupakan salah satu negara yang mempunyai kadar peratusan masalah obesiti tertinggi. Mengapakah masalah ini masih berlaku walaupun tips-tips gaya hidup sihat telah diuar-uarkan kepada masyarakat?

Sejak akhir-akhir ini, kita sering mendengar tentang isu masalah obesiti dalam kalangan masyarakat dan juga media-media sosial. Secara umumnya, obesiti merupakan satu penyakit yang disebabkan oleh kegemukan yang berlebihan. Hal ini akan mengakibatkan berat badan seseorang itu tidak sejajar dengan ketinggian dan umur mereka. Pelbagai langkah dan tips telah diuar-uarkan kepada masyarakat untuk mengatasi masalah ini. Namun begitu, masalah ini masih berlaku dalam kalangan masyarakat negara kita. Oleh hal yang demikian, punca-punca yang menunjangi masalah ini perlu diperincikan demi kebaikan bersama.

Salah satu punca yang menyebabkan masalah obesiti masih berlaku termasuklah sikap endah tidak endah masyarakat yang menganggap masalah ini hal yang remeh. Hal ini dikatakan demikian kerana mereka memandang ringan akan perkara ini sehingga mengabaikan kesihatan diri. Sebagai contohnya, masyarakat kurang mengamalkan pemakanan yang seimbang dan gaya hidup yang sihat seperti bermain badminton, berjoging, dan mengayuh basikal. Akibat daripada hal ini, timbullah masalah kenaikan berat badan yang akhirnya membawa kepada masalah obesiti. Oleh hal yang demikian, sebagai masyarakat yang menitikberatkan kesihatan diri, kita sewajarnya mengambil langkah yang pragmatik dengan memikirkan kesan jangka panjang yang akan berlaku hasil daripada sikap kita yang tidak peduli. Jelaslah bahawa jika kita memandang ringan kesihatan dan pemakanan seimbang, tidak hairanlah masyarakat pada masa ini mengalami masalah obesiti yang boleh mengakibatkan kurangnya keyakinan dan kepercayaan terhadap diri kita sendiri.

Selain itu, daripada sudut pandangan yang lain dapat dijelaskan bahawa masalah ini berlaku kerana aktiviti menonton televisyen, permainan video, dan waktu luang yang berlebihan. Aktiviti-aktiviti yang berkaitan amat popular dalam masyarakat kini. Sudah menjadi lumrah dalam kehidupan kita untuk menginginkan hidup yang santai dan bebas sehingga menimbulkan sikap malas untuk bersenam. Misalnya, masyarakat negara kita lebih memilih untuk meluangkan masa bersama-sama keluarga pada hujung minggu dengan membeli-belah dan menonton wayang daripada bersama-sama untuk mengekalkan kesihatan diri dengan berjoging di taman dan bermain badminton di halaman rumah. Kesannya, berlakulah penambahan berat badan dan menyebabkan kualiti kehidupan kita menurun. Justeru, masyarakat perlu mengurangkan masa dalam kegiatan sedemikian dan memperbanyak kegiatan fizikal yang boleh menyihatkan badan. Sudah terang lagi bersuluh, sikap malas untuk melakukan aktiviti riadah boleh menyebabkan masalah ini berterusan dalam kalangan masyarakat.

Seterusnya, kita lazimnya mengamalkan pemakanan berasaskan karbohidrat yang secara umumnya menjadi penyumbang kepada masalah kegemukan. Masyarakat di negara kita sudah terbiasa bersarapan pagi dengan roti canai atau nasi lemak. Malahan, nasi menjadi menu utama dalam setiap hidangan makan tengah hari dan malam. Hal ini dikatakan demikian kerana, masyarakat kita sudah sebati dengan menu tersebut. Bertitik tolak daripada perkara ini, karbohidrat yang terdapat dalam nasi yang dimakan akan bertukar menjadi gula, dan seterusnya memberikan tenaga kepada kita. Namun begitu, gula tersebut akan bertukar menjadi lemak, sekiranya kita tidak mengeluarkan tenaga tadi. Oleh hal yang demikian, pihak sekolah boleh mengadakan program berkaitan terutamanya pemakanan seimbang mengikut piramid makanan untuk kalangan pelajar. Manakala, pihak kerajaan boleh menganjurkan ceramah dan program untuk setiap lapisan masyarakat. Dengan ini jelaslah bahawa pengambilan makanan karbohidrat yang berlebihan akan menyebabkan masalah obesiti ini berlanjutan.

Masyarakat juga mengalami masalah obesiti secara berterusan walaupun tips-tips gaya hidup sihat telah diuar-uarkan kerana kurangnya dorongan dan galakan daripada keluarga, saudara mara, dan sahabat handai. Hal ini akan mendorong masyarakat untuk tidak mengamalkan gaya hidup sihat seterusnya mengakibatkan kegemukan. Perkara ini boleh berlaku disebabkan beberapa faktor seperti tekanan dan kemudahan mendapatkan pelbagai sumber makanan. Sebagai contohnya, masyarakat yang hidup tertekan cenderung memiliki pengambilan makanan yang tidak teratur. Sekiranya tidak didorong, hal ini bukan sahaja mempengaruhi kesihatan mental seseorang. Namun, kesan lain yang turut berlaku termasuklah berat badan yang berlebihan. Secara tuntasnya, jika galakan dan dorongan daripada ahli keluarga, rakan-rakan, mahupun saudara mara terdekat kurang memberangsangkan, maka masalah obesiti akan kekal berterusan dan menjadi sebati dalam kehidupan masyarakat Malaysia.

Akhir sekali, kita dapat menyimpulkan bahawa terdapat pelbagai punca yang menyebabkan masalah obesiti masih berlaku walaupun tips-tips gaya hidup sihat telah diuar-uarkan. Oleh hal yang demikian, sebagai masyarakat yang hidup dalam persekitaran yang dapat memenuhi keperluan dan kehendak khususnya dari segi makanan, kita perlulah mencegah masalah ini daripada berterusan kerana mencegah lebih baik daripada mengubati. Lantaran itu, kita hendaklah berhati-hati dan bijak dalam memilih apa yang kita makan. Janganlah kita terlalu mengikut selera dan nafsu makan semata-mata kerana kita makan untuk hidup, bukan hidup untuk makan.

 ᵕ̈೫˚ DOWNLOAD HERE ༉‧₊˚.

2023/09/02

Cover Image That Contains Title Of This Blog Post

Berikut merupakan salah satu contoh karangan yang boleh dijadikan sebagai rujukan dan panduan terutamanya kepada pelajar yang akan menduduki peperiksaan menengah atas. Untuk melihat lagi banyak contoh karangan, anda boleh terus scroll ke bawah untuk melihat post yang tertera atau tekan menu blog di bahagian atas.

CONTOH KARANGAN SPM

Bagaimanakah kita menjadikan warisan bangsa negara kita sebagai ikon dalam diri setiap masyarakat tanpa meniru warisan bangsa di negara lain?

Negara kita Malaysia cukup terkenal oleh rakyatnya yang berbilang kaum seperti kaum Melayu, Cina, India, Kadazan dan Iban. Setiap kaum ini masih mengamalkan warisan yang diturunkan oleh nenek moyang dan disesuaikan dengan cara hidup dan agama generasi masa ini. Oleh hal yang demikian, kita sebagai generasi yang menerima warisan ini haruslah bersyukur dan bertuah dengan keistimewaan yang terdapat dalam semua kaum di Malaysia. Persoalannya, bagaimanakah kita menjadikan warisan bangsa negara sebagai ikon dalam diri setiap masyarakat tanpa meniru warisan negara lain?

Salah satu cara yang boleh dilakukan untuk menjadikan warisan sebagai ikon dalam diri setiap masyarakat termasuklah individu dalam setiap kaumnya masing-masing haruslah mempunyai keinginan yang tinggi untuk meneruskan budaya yang ada di dalamnya. Hal ini dikatakan demikian supaya kebudayaan ini dapat dikekalkan dan diteruskan oleh generasi yang akan datang. Sebagai contohnya, anak-anak muda daripada kaum Melayu harus membuka mata mereka untuk belajar mengenai tarian Melayu seperti Tarian Zapin dan Joget. Perkara ini juga boleh dipraktikkan oleh kaum yang lain seperti kaum Kadazan dengan mempelajari Tarian Sumazau. Oleh hal yang demikian, generasi muda sekarang dapat mengetahui tarian tradisional kaum masing-masing di samping memartabatkan lagi warisan bangsa yang ada sejak dahulu. Dengan ini, jelaslah bahawa setiap individu memainkan peranan yang amat penting untuk menjadikan warisan ini sebagai ikon dalam diri mereka dengan menanam tekad yang tinggi untuk meneruskan budaya bangsa kaum-kaum di Malaysia.

Selain itu, pihak sekolah juga memainkan peranan yang sama penting dengan mewujudkan kelab dan persatuan yang berkait rapat dengan kebudayaan yang terdapat dalam sesuatu kaum di Malaysia. Dengan wujudnya kelab dan persatuan kebudayaan di sekolah, ini akan menggalakkan lagi para pelajar agar terus melibatkan diri dan mempelajari sesuatu daripada aktiviti kebudayaan yang dijalankan. Sehubungan dengan itu, pihak sekolah perlulah mengalakkan para pelajar supaya menyertai aktiviti kebudayaan pada waktu kokurikulum dan di luar waktu pengajaran dan pembelajaran. Kesannya, pelajar dapat dilatih dan diajar mengenai keistimewaan warisan bangsa kaum-kaum di Malaysia seterusnya melahirkan generasi yang mementingkan amalan dan adat yang telah diwariskan oleh generasi terdahulu. Sudah terang lagi bersuluh bahawa pihak sekolah perlulah mewujudkan kelab dan persatuan yang berkaitan dengan kebudayaan. Guru-guru dan para pelajar haruslah berganding bahu agar aktiviti kebudayaan ini akan berjalan dengan lancar dan mampu membentuk pelajar yang menghargai warisan bangsa dengan menjadikan warisan sebagai ikon dalam diri mereka.

Seterusnya, pihak kerajaan pula  bertanggungjawab untuk mengadakan aktiviti kebudayaan rakyat Malaysia sekurang-kurangnya sekali dalam setahun khususnya Kementerian Penerangan, Komunikasi, dan Kebudayaan. Aktiviti kebudayaan ini diadakan untuk mendedahkan kepada rakyat tentang keunikan budaya yang terdapat di Malaysia. Sebagai contohnya, pesta kebudayaan dan kesenian boleh dilakukan pada pelbagai peringkat seperti peringkat daerah, negeri, negara, mahupun antarabangsa yang meliputi tarian, muzik, pakaian, dan makanan. Hal ini akan membuka mata rakyat agar menjadikan warisan negara sebagai ikon dalam diri di samping menjadikan pesta ini sebagai salah satu tarikan pelancong untuk berkunjung ke negara kita. Secara jelasnya, salah satu peranan kerajaan untuk menjadikan warisan bangsa ini sebagai ikon dalam diri masyarakat ialah dengan mengadakan aktiviti kebudayaan pelbagai kaum di Malaysia.

Bertunjangkan cara yang pragmatik, pihak kerajaan juga boleh mengadakan rumah terbuka secara besar-besaran bagi setiap perayaan yang disambut di Malaysia seperti Hari Raya Aidilfitri, Tahun Baru Cina, Deepavali, Hari Kaamatan, dan Hari Gawai. Rumah terbuka ini dapat mengeratkan lagi silaturahim antara keluarga, sahabat handai, dan jiran tetangga daripada pelbagai kaum, seterusnya membina persahabatan yang akrab, bak kata pepatah bagai isi dengan kuku. Kerajaan juga boleh mengalakkan rakyat pelbagai kaum di negara ini supaya menganjurkan rumah terbuka semasa majlis perayaan. Jika amalan ini dapat diteruskan dan dikekalkan, tidak hairan masyarakat kita hidup bersatu padu, aman, dan harmoni. Tuntasnya, amalan rumah terbuka dapat menjadikan warisan bangsa sebagai ikon dalam diri setiap masyarakat.

Akhir sekali, sebagai rakyat Malaysia yang terdiri daripada pelbagai kaum dan agama, kita haruslah menjadikan warisan bangsa yang terdapat di negara kita sebagai suatu ikon dalam diri setiap masyarakat tanpa meniru warisan bangsa di negara lain. Peranan daripada semua pihak amatlah diperlukan untuk membina warisan bangsa yang istimewa. Kerjasama semua pihak perlulah dititikberatkan bagai aur dengan tebing agar Malaysia menjadi salah satu negara yang terkenal kerana keunikannya yang mempunyai warisan bangsa yang pelbagai.

 ᵕ̈೫˚ DOWNLOAD HERE ༉‧₊˚.

Instagram
SietaClaie