Berikut merupakan salah satu contoh karangan yang boleh dijadikan sebagai rujukan dan panduan terutamanya kepada pelajar yang akan menduduki peperiksaan menengah atas. Untuk melihat lagi banyak contoh karangan, anda boleh terus scroll ke bawah untuk melihat post yang tertera atau tekan menu blog di bahagian atas.
CONTOH KARANGAN SPM
Huraikan pendapat anda tentang ciri-ciri jiran yang baik.
Jiran ialah orang yang tinggal paling hampir dengan tempat kediaman kita. Segala perkara yang berlaku pada diri kita terlebih dahulu diketahui oleh jiran. Oleh hal yang demikian, jiran merupakan orang yang paling mudah dihubungi untuk mendapatkan pertolongan pada saat kita ditimpa musibah. Pertolongan seperti inilah yang mata diperlukan pada waktu kecemasan sementara menunggu bantuan pihak berwajib. Justeru, jiran yang sepakat dan bersatu padu mampu menjamin keselamatan setempat daripada sebarang ancaman seperti kecurian, penyalahgunaan dadah, dan budaya samseng. Persoalannya, apakah sahaja ciri-ciri jiran yang baik?
Ciri jiran yang baik ialah saling menghormati. Hal ini dikatakan demikian kerana ianya dapat mengelakkan perbalahan yang berpunca daripada perselisihan faham. Jiran yang baik akan sentiasa berinteraksi secara sopan, jujur, dan tulus kepada satu dengan yang lainnya. Sebagai contohnya, kita sebagai jiran yang lebih muda haruslah menggunakan panggilan yang sesuai dan sopan seperti panggilan kakak, pakcik, dan mak cik kepada jiran yang lebih tua untuk menunjukkan rasa hormat. Kita juga hendaklah mengucapkan terima kasih apabila menerima sesuatu daripada jiran. Budi bahasa kita juga harus dijaga kerana budi bahasa, budaya kita. Kesannya, ikatan kejiranan akan terjalin lebih utuh. Terbuktilah bahawa ciri-ciri jiran yang baik adalah hormat-menghormati.
Peka terhadap masalah yang berlaku di sekitar kawasan kejiranan dan membantu mereka yang berada dalam kesusahan juga merupakan salah satu ciri jiran yang baik. Hai ini dapat membantu meringankan beban dan masalah yang sedang dialami. Jiran yang baik akan menziarahi stau dengan yang lain apabila mendapat tahu jirannya sakit. Sebagai contohnya, kita akan membawa buah tangan sewaktu menziarahi jiran yang sedang sakit dan meluangkan masa untuk bertanyakan khabar dan bersiap sedia sekiranya jiran memerlukan pertolongan. Perbuatan ini merupakan amalan yang terpuji kerana sebagai seorang jiran, kita harus mengambil berat tentang keadaan jiran kita. Jika jiran ditimpa masalah, kita haruslah sedia membantu. Kesannya, jiran dapat merapatkan hubungan silaturahim. Sidang terang lagi bersuluh, ciri jiran yang baik adalah peka terhadap masalah yang berlaku di sekeliling mereka dan membantu jiran yang dalam kesusahan.
Jiran yang baik akan saling membantu. Sikap ini dapat meringankan beban yang dipikul oleh jiran tetangga. Sebagai contohnya, sewaktu jiran mengadakan kenduri, kita sebagai jiran yang baik harus turut serta meringan beban jiran kita dengan membantu persiapan kenduri seperti memasak, memasang khemah, dan membersihkan kawasan di mana kenduri itu akan dijalankan. Dengan ini, persiapan kenduri tersebut akan terlaksana dengan lebih pantas. Selain kenduri, jiran tetangga juga perlu mengamalkan sikap tolong-menolong ini dalam aktiviti gotong-royong. Tambahan pula, jika aktiviti tersebut melibatkan kawasan kejiranan yang memerlukan kerjasama setiap isi rumah yang tinggal di kawasan tersebut. Aktiviti ini bukan sahaja dapat memupuk sikap kerjasama seperti aur dengan tebing. Tegaslah bahawa salah satu ciri jiran yang baik adalah saling membantu.
Kunjung-mengunjungi juga merupakan salah satu ciri jiran yang baik. Amalan kunjung-mengunjungi ini membolehkan jiran mengenali kita dengan lebih, bak kata peribahasa tak kenal maka tak cinta. Hal ini dapat dilakukan dengan mengunjungi rumah jiran ketika menjelangnya hari perayaan. Sebagai contohnya, Hari Raya Aidilfitri, Tahun Baru Cina, dan Deepavali. Amalan ini bukan sahaja membolehkan jiran mengenali satu sama lain, tetapi juga mengenali budaya jiran. Individu dapat menikmati pelbagai juadah makanan kaum lain seperti rendang, ketupat, dan kuih bulan. Melakukan jiran yang suka mengunjungi jiran yang lain amat disenangi kerana tidak bersifat kera sumbang. Natijahnya, jiran-jiran dapat mengeratkan hubungan yang lebih mesra. Jelaslah bahawa kunjung-mengunjungi merupakan salah satu ciri jiran yang baik.
Ciri jiran yang baik adalah sentiasa melibatkan diri dalam aktiviti kemasyarakatan yang diadakan di kawasan kejiranan. Hal ini dapat memupuk semangat kekitaan dalam kalangan jiran tetangga, bak kata peribahasa yang berbunyi ke bukit sama didaki, ke lurah sama dituruni. Setiap kawasan kejiranan haruslah menubuhkan persatuan Tukun Tetangga. Persatuan ini mampu mewujudkan kehidupan berjiran yang lebih baik. Sehubungan dengan itu, jiran yang baik haruslah turut serta dalam aktiviti kejiranan ini. Sebagai contohnya, kita hendaklah menyumbang tenaga dengan menyertai aktiviti rondaan di kawasan kejiranan pada waktu malam. Kegiatan ini akan dapat mengelakkan berlakunya kes-kes seperti kecurian dan jenayah di kawasan kejiranan serta mewujudkan persekitaran yang selesa dan selamat untuk dihuni. Salah satu ciri jiran yang baik adalah sentiasa melibatkan diri dalam aktiviti kemasyarakatan di kawasan kejiranan.
Tuntasnya, hidup berjiran amat penting dalam kehidupan kita. Hal ini dikatakan demikian kerana hidup berjiran mendatangkan banyak manfaat dan menyatupadukan seluruh masyarakat. Jelaslah kepada kita bahawa kepentingan dan peranan jiran tetangga yang baik dalam membentuk kemakmuran dan kesejahteraan sesebuah negara amatlah penting. Oleh hal yang demikian, masyarakat haruslah berganding bahu bak kata peribahasa berat sama dipikul, ringan sama dijinjing dalam usaha menjadikan kehidupan berjiran sebahagian daripada amalan dan budaya masyarakat di Malaysia.