Penyebab Masalah Obesiti Masih Berlaku Di Malaysia

MALAYSIA
Cover Image That Contains Title Of This Blog Post

Berikut merupakan salah satu contoh karangan yang boleh dijadikan sebagai rujukan dan panduan terutamanya kepada pelajar yang akan menduduki peperiksaan menengah atas. Untuk melihat lagi banyak contoh karangan, anda boleh terus scroll ke bawah untuk melihat post yang tertera atau tekan menu blog di bahagian atas.

CONTOH KARANGAN SPM

Malaysia merupakan salah satu negara yang mempunyai kadar peratusan masalah obesiti tertinggi. Mengapakah masalah ini masih berlaku walaupun tips-tips gaya hidup sihat telah diuar-uarkan kepada masyarakat?

Sejak akhir-akhir ini, kita sering mendengar tentang isu masalah obesiti dalam kalangan masyarakat dan juga media-media sosial. Secara umumnya, obesiti merupakan satu penyakit yang disebabkan oleh kegemukan yang berlebihan. Hal ini akan mengakibatkan berat badan seseorang itu tidak sejajar dengan ketinggian dan umur mereka. Pelbagai langkah dan tips telah diuar-uarkan kepada masyarakat untuk mengatasi masalah ini. Namun begitu, masalah ini masih berlaku dalam kalangan masyarakat negara kita. Oleh hal yang demikian, punca-punca yang menunjangi masalah ini perlu diperincikan demi kebaikan bersama.

Salah satu punca yang menyebabkan masalah obesiti masih berlaku termasuklah sikap endah tidak endah masyarakat yang menganggap masalah ini hal yang remeh. Hal ini dikatakan demikian kerana mereka memandang ringan akan perkara ini sehingga mengabaikan kesihatan diri. Sebagai contohnya, masyarakat kurang mengamalkan pemakanan yang seimbang dan gaya hidup yang sihat seperti bermain badminton, berjoging, dan mengayuh basikal. Akibat daripada hal ini, timbullah masalah kenaikan berat badan yang akhirnya membawa kepada masalah obesiti. Oleh hal yang demikian, sebagai masyarakat yang menitikberatkan kesihatan diri, kita sewajarnya mengambil langkah yang pragmatik dengan memikirkan kesan jangka panjang yang akan berlaku hasil daripada sikap kita yang tidak peduli. Jelaslah bahawa jika kita memandang ringan kesihatan dan pemakanan seimbang, tidak hairanlah masyarakat pada masa ini mengalami masalah obesiti yang boleh mengakibatkan kurangnya keyakinan dan kepercayaan terhadap diri kita sendiri.

Selain itu, daripada sudut pandangan yang lain dapat dijelaskan bahawa masalah ini berlaku kerana aktiviti menonton televisyen, permainan video, dan waktu luang yang berlebihan. Aktiviti-aktiviti yang berkaitan amat popular dalam masyarakat kini. Sudah menjadi lumrah dalam kehidupan kita untuk menginginkan hidup yang santai dan bebas sehingga menimbulkan sikap malas untuk bersenam. Misalnya, masyarakat negara kita lebih memilih untuk meluangkan masa bersama-sama keluarga pada hujung minggu dengan membeli-belah dan menonton wayang daripada bersama-sama untuk mengekalkan kesihatan diri dengan berjoging di taman dan bermain badminton di halaman rumah. Kesannya, berlakulah penambahan berat badan dan menyebabkan kualiti kehidupan kita menurun. Justeru, masyarakat perlu mengurangkan masa dalam kegiatan sedemikian dan memperbanyak kegiatan fizikal yang boleh menyihatkan badan. Sudah terang lagi bersuluh, sikap malas untuk melakukan aktiviti riadah boleh menyebabkan masalah ini berterusan dalam kalangan masyarakat.

Seterusnya, kita lazimnya mengamalkan pemakanan berasaskan karbohidrat yang secara umumnya menjadi penyumbang kepada masalah kegemukan. Masyarakat di negara kita sudah terbiasa bersarapan pagi dengan roti canai atau nasi lemak. Malahan, nasi menjadi menu utama dalam setiap hidangan makan tengah hari dan malam. Hal ini dikatakan demikian kerana, masyarakat kita sudah sebati dengan menu tersebut. Bertitik tolak daripada perkara ini, karbohidrat yang terdapat dalam nasi yang dimakan akan bertukar menjadi gula, dan seterusnya memberikan tenaga kepada kita. Namun begitu, gula tersebut akan bertukar menjadi lemak, sekiranya kita tidak mengeluarkan tenaga tadi. Oleh hal yang demikian, pihak sekolah boleh mengadakan program berkaitan terutamanya pemakanan seimbang mengikut piramid makanan untuk kalangan pelajar. Manakala, pihak kerajaan boleh menganjurkan ceramah dan program untuk setiap lapisan masyarakat. Dengan ini jelaslah bahawa pengambilan makanan karbohidrat yang berlebihan akan menyebabkan masalah obesiti ini berlanjutan.

Masyarakat juga mengalami masalah obesiti secara berterusan walaupun tips-tips gaya hidup sihat telah diuar-uarkan kerana kurangnya dorongan dan galakan daripada keluarga, saudara mara, dan sahabat handai. Hal ini akan mendorong masyarakat untuk tidak mengamalkan gaya hidup sihat seterusnya mengakibatkan kegemukan. Perkara ini boleh berlaku disebabkan beberapa faktor seperti tekanan dan kemudahan mendapatkan pelbagai sumber makanan. Sebagai contohnya, masyarakat yang hidup tertekan cenderung memiliki pengambilan makanan yang tidak teratur. Sekiranya tidak didorong, hal ini bukan sahaja mempengaruhi kesihatan mental seseorang. Namun, kesan lain yang turut berlaku termasuklah berat badan yang berlebihan. Secara tuntasnya, jika galakan dan dorongan daripada ahli keluarga, rakan-rakan, mahupun saudara mara terdekat kurang memberangsangkan, maka masalah obesiti akan kekal berterusan dan menjadi sebati dalam kehidupan masyarakat Malaysia.

Akhir sekali, kita dapat menyimpulkan bahawa terdapat pelbagai punca yang menyebabkan masalah obesiti masih berlaku walaupun tips-tips gaya hidup sihat telah diuar-uarkan. Oleh hal yang demikian, sebagai masyarakat yang hidup dalam persekitaran yang dapat memenuhi keperluan dan kehendak khususnya dari segi makanan, kita perlulah mencegah masalah ini daripada berterusan kerana mencegah lebih baik daripada mengubati. Lantaran itu, kita hendaklah berhati-hati dan bijak dalam memilih apa yang kita makan. Janganlah kita terlalu mengikut selera dan nafsu makan semata-mata kerana kita makan untuk hidup, bukan hidup untuk makan.

Instagram
SietaClaie